DIET SIHAT: Majalah Maya . Rencana . Foto . Herba . Ulam . Sayur-sayuran . Buah-buahan . Rawatan Terbaik Dari Sumber Tumbuh-tumbuhan . Mencegah Lebih Baik Dari Merawat . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 2 September 2018

Ketumbit Jantan


KETUMBIT JANTAN

KETUMBIT JANTAN dikenali juga di sesetengah tempat sebagai Bayam Peraksi dan Pucuk Paksi. Pokok renek ini tergolong dalam kategori ulam herba yang mudah tumbuh subur dalam pelbagai keadaan. Walaupun di musim kering (kemarau), pokok ini calang-calang tumbuh-tumbuhan kerana tetap boleh hidup dalam keadaan cuaca dan iklim seperti itu.

Pokok ini lazimnya tumbuh di kawasan tanah peroi dan berpasir malah boleh ditemui di kebanyakan tempat dan persekitaran rumah seperti di kawasan pagar dan dinding rumah. Malah ia mudah tumbuh subur di dalam pasu. Pokok ulam ini boleh dipindahkan ke mana-mana tempat jika selepas pemindahan itu telah disiram air.

Namun, paling utama pokok Ketumbit Jantan ini selain boleh dijadikan ulam mentah, ia turut dibuat masak lemak.

 Ketumbit Jantan tumbuh subur dalam pasu bunga

Dari segi keistimewaan dan khasiatnya pula, ia sememangnya berunsur perubatan. Orang-orang Melayu mempercayai Ketumbit Jantan atau Bayam Peraksi ini dapat merawat demam, merawat bengkak kerongkong, merawat radang paru-paru dan hati, penyakit kulit, penghadaman dan perkumuhan serta merupakan antibiotik asli.

Jika anda melihat tumbuh-tumbuhan renek ini tumbuh di dalam pasu bersama pokok-pokok bunga dan lain-lainnya, ia bukanlah sejenis rumput atau tumbuh-tumbuhan yang tidak berguna. Ambillah dan jadikannya sebagai ulam bersama nasi kerana ia berguna untuk kesihatan dan pemakanan manusia.

 Pokok Ketumbit Jantan ini tidak malu tumbuh bersama pokok renek yang lain dalam sebuah pasu.

 Tulisan dan Foto:
  AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 13 Ogos 2018

Pokok Ulat Bulu


POKOK ULAT BULU

POKOK ULAT BULU yang mudah tumbuh dan banyak ditemui di kawasan tanah peroi, berpasir yang turut ditumbuhi pelbagai tumbuh-tumbuhan renek seperti rumput dan pokok-pokok renek lain. Lazimnya, pokok ulat bulu tumbuh secara menjalar dan memanjat pagar-pagar rumah dan pokok-pokok yang berdekatan dengannya.

Pokok ulat bulu diberikan nama berikutan bermula dari umbi hingga hujung (pucuk) pokok ini berbulu. Bukanlah ia dihuni ulat bulu yang menjadikan namanya sedemikian itu. Namun, pokok ini jarang dikenali, kerana itu ia dibiarkan mati atau turut dibakar kerana sifatnya yang berbulu.

Namun, tahukah anda pokok ini juga dipercayai memberikan pelbagai keistimewaan, khasiatnya ataupun berunsur perubatan. Pokok ini boleh juga dikategorikan sebagai pokok herba atau pokok ulam herba melihat fungsinya kepada kesihatan manusia.

Di antara khasiat dan nilai perubatan kepada kesihatan manusia, ia dipercayai dapat merawat asma (lelah), kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi, merawat strok, kanser, penyakit kuning pada bayi, sakit sendi dan lutut, menambah kadar darah dalam badan, mencegah jerawat, kurap, menurunkan suhu panas badan, menurunkan paras kolestrol, rawat pengsan, penawar keracunan, menjadikan badan cergas dan cerdas serta memulihkan tenaga kelelakian.

Kaedah menyediakannya, pokok ini perlulah dipotong dan dicuci terlebih dahulu sebelum merebusnya. Kaedahnya ialah dengan menjadikannya sebagai ulam dan meminum air rebusan itu.



Nampak berbulu seperti ulat bulu, tetapi ia bernilai perubatan

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 25 Jun 2018

Pokok Ketumpang Air


POKOK KETUMPANG AIR

POKOK KETUMPANG AIR atau nama lainnya dikenali sebagai Sireh Laut, Sireh Cina, Sireh Pasir, Sireh Air dan Sireh Bunian banyak tumbuh dan hidup subur di kawasan lembab seperti di kawasan tanah peroi dan berpasir. Ia banyak ditemui di kawasan sekitar rumah kerana pokok ini hidup menumpang di kawasan pokok-pokok renek lain atau dalam pasu. Lihatlah batang-batangnya yang dipenuhi air, walaupun dicabut di musim kemarau kemudiannya dipindah ke dalam pasu menggunakan tanah yang lain, pokok ketumpang air mudah hidup.

Pokok Ketumpang Air yang hidup dalam spesis mereka boleh dijadikan ulam (makan mentah sama ada di makan begitu saja, dicecah dengan sos, kicap atau budu), boleh juga dijadikan kerabu, sayur sama ada digoreng atau dimasukkan ke dalam gulai lemak atau sebarang masakan berkuah atau boleh direbus kerana pokok ini menyajikan penambah perisa terhadap makanan.

Pokok Ketumpang Air kurang dikenali kerana menganggapkannya sebagai rumput, namun peranannya kepada kesihatan manusia amatlah besar.

Disebabkan ia tumbuh bebas di kawasan tanah terbuka atau tanah gelap atau dalam keadaan rimbunan pokok-pokok renek yang lain, pokok ketumpang air amat jarang dikenali kerana menganggapkannya sebagai rumput atau pokok yang tidak berguna. Namun, ketahuilah bahawa Pokok Ketumpang Air ini mengandungi khasiatnya yang tersendiri malah bernilai perubatan untuk kesihatan manusia.

Di antara khasiat dan nilai perubatan dalam pokok ketumpang air ini seperti merawat penyakit gout, sakit sendi dan perut, mencegah jangkitan pada mata, meredakan cirit-birit, merawat batuk, meredakan demam dan selsema, merawat buasir, merawat jangkitan pada pundi kencing, mencegah masalah kayap, penyakit darah tinggi, kencing manis dan sembelit.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH