DIET SIHAT: Majalah Maya . Rencana . Foto . Herba . Ulam . Sayur-sayuran . Buah-buahan . Rawatan Terbaik Dari Sumber Tumbuh-tumbuhan . Mencegah Lebih Baik Dari Merawat . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 2 September 2018

Ketumbit Jantan


KETUMBIT JANTAN

KETUMBIT JANTAN dikenali juga di sesetengah tempat sebagai Bayam Peraksi. Pokok renek ini tergolong dalam kategori ulam yang mudah tumbuh subur dalam pelbagai keadaan. Walaupun di musim kering (kemarau), pokok ini calang-calang tumbuh-tumbuhan kerana tetap boleh hidup dalam keadaan cuaca dan iklim seperti itu.

Pokok ini lazimnya tumbuh di kawasan tanah peroi dan berpasir malah boleh ditemui di kebanyakan tempat dan persekitaran rumah seperti di kawasan pagar dan dinding rumah. Malah ia mudah tumbuh subur di dalam pasu. Pokok ulam ini boleh dipindahkan ke mana-mana tempat jika selepas pemindahan itu telah disiram air.

Namun, paling utama pokok Ketumbit Jantan ini selain boleh dijadikan ulam mentah, ia turut dibuat masak lemak.

 Ketumbit Jantan tumbuh subur dalam pasu bunga

Dari segi keistimewaan dan khasiatnya pula, ia sememangnya berunsur perubatan. Orang-orang Melayu mempercayai Ketumbit Jantan atau Bayam Peraksi ini dapat merawat demam, merawat bengkak kerongkong, merawat radang paru-paru dan hati, penyakit kulit, penghadaman dan perkumuhan serta merupakan antibiotik asli.

Jika anda melihat tumbuh-tumbuhan renek ini tumbuh di dalam pasu bersama pokok-pokok bunga dan lain-lainnya, ia bukanlah sejenis rumput atau tumbuh-tumbuhan yang tidak berguna. Ambillah dan jadikannya sebagai ulam bersama nasi kerana ia berguna untuk kesihatan dan pemakanan manusia.

 Pokok Ketumbit Jantan ini tidak malu tumbuh bersama pokok renek yang lain dalam sebuah pasu.

 Tulisan dan Foto:
  AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 13 Ogos 2018

Pokok Ulat Bulu


POKOK ULAT BULU

POKOK ULAT BULU yang mudah tumbuh dan banyak ditemui di kawasan tanah peroi, berpasir yang turut ditumbuhi pelbagai tumbuh-tumbuhan renek seperti rumput dan pokok-pokok renek lain. Lazimnya, pokok ulat bulu tumbuh secara menjalar dan memanjat pagar-pagar rumah dan pokok-pokok yang berdekatan dengannya.

Pokok ulat bulu diberikan nama berikutan bermula dari umbi hingga hujung (pucuk) pokok ini berbulu. Bukanlah ia dihuni ulat bulu yang menjadikan namanya sedemikian itu. Namun, pokok ini jarang dikenali, kerana itu ia dibiarkan mati atau turut dibakar kerana sifatnya yang berbulu.

Namun, tahukah anda pokok ini juga dipercayai memberikan pelbagai keistimewaan, khasiatnya ataupun berunsur perubatan. Pokok ini boleh juga dikategorikan sebagai pokok herba atau pokok ulam herba melihat fungsinya kepada kesihatan manusia.

Di antara khasiat dan nilai perubatan kepada kesihatan manusia, ia dipercayai dapat merawat asma (lelah), kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi, merawat strok, kanser, penyakit kuning pada bayi, sakit sendi dan lutut, menambah kadar darah dalam badan, mencegah jerawat, kurap, menurunkan suhu panas badan, menurunkan paras kolestrol, rawat pengsan, penawar keracunan, menjadikan badan cergas dan cerdas serta memulihkan tenaga kelelakian.

Kaedah menyediakannya, pokok ini perlulah dipotong dan dicuci terlebih dahulu sebelum merebusnya. Kaedahnya ialah dengan menjadikannya sebagai ulam dan meminum air rebusan itu.



Nampak berbulu seperti ulat bulu, tetapi ia bernilai perubatan

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 25 Jun 2018

Pokok Ketumpang Air


POKOK KETUMPANG AIR

POKOK KETUMPANG AIR atau nama lainnya dikenali sebagai Sireh Laut, Sireh Cina, Sireh Pasir, Sireh Air dan Sireh Bunian banyak tumbuh dan hidup subur di kawasan lembab seperti di kawasan tanah peroi dan berpasir. Ia banyak ditemui di kawasan sekitar rumah kerana pokok ini hidup menumpang di kawasan pokok-pokok renek lain atau dalam pasu. Lihatlah batang-batangnya yang dipenuhi air, walaupun dicabut di musim kemarau kemudiannya dipindah ke dalam pasu menggunakan tanah yang lain, pokok ketumpang air mudah hidup.

Pokok Ketumpang Air yang hidup dalam spesis mereka boleh dijadikan ulam (makan mentah sama ada di makan begitu saja, dicecah dengan sos, kicap atau budu), boleh juga dijadikan kerabu, sayur sama ada digoreng atau dimasukkan ke dalam gulai lemak atau sebarang masakan berkuah atau boleh direbus kerana pokok ini menyajikan penambah perisa terhadap makanan.

Pokok Ketumpang Air kurang dikenali kerana menganggapkannya sebagai rumput, namun peranannya kepada kesihatan manusia amatlah besar.

Disebabkan ia tumbuh bebas di kawasan tanah terbuka atau tanah gelap atau dalam keadaan rimbunan pokok-pokok renek yang lain, pokok ketumpang air amat jarang dikenali kerana menganggapkannya sebagai rumput atau pokok yang tidak berguna. Namun, ketahuilah bahawa Pokok Ketumpang Air ini mengandungi khasiatnya yang tersendiri malah bernilai perubatan untuk kesihatan manusia.

Di antara khasiat dan nilai perubatan dalam pokok ketumpang air ini seperti merawat penyakit gout, sakit sendi dan perut, mencegah jangkitan pada mata, meredakan cirit-birit, merawat batuk, meredakan demam dan selsema, merawat buasir, merawat jangkitan pada pundi kencing, mencegah masalah kayap, penyakit darah tinggi, kencing manis dan sembelit.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 23 Jun 2016

Pisang


PISANG

PISANG atau dalam bahasa saintifiknya dikenali “Musa sapiantium” dan "M. paradisiaca”. Bahkan kalau dihitung nama dan jenisnya pula, kira-kira 20 jenis pisang di dunia seperti pisang talang, kapas, awak, susu, berangan, kari, embun, embun biasa, kelat keling, rastali, khaki, lidi, lemak manis, nipah, nangka, abu, mas dan tanduk raja.

Pisang sama ada dimakan segar, digoreng, dibuat kek dan kuih, hakikatnya pisang memberikan pelbagai khasiat dan keistimewaan kepada tubuh manusia berdasarkan jenis-jenis pisang tertentu. Namun, ada yang beranggapan pisang adalah sekadar pisang saja tanpa memperhitungkan tentang keistimewaannya kepada tubuh badan manusia.

Walaupun segelintir di kalangan kita tidak begitu menggemari pisang atas pelbagai sebab seperti tidak berselera, tidak enak dimakan, akan mengundang penyakit apabila memakan pisang dan sebagainya. Namun, hakikatnya pisang mempunyai khasiat tertentu kerana bahan makanan ini mengandungi beberapa jenis vitamin dan zat galian yang antara lain dapat membekalkan tenaga yang secukupnya untuk melakukan senaman dan kerja terutamanya kepada golongan atlet dan penggiat sukan lasak.

Selain itu, pisang mengandungi asid, enzim dan sebatian kimia. Ia juga mengandungi tiga jenis gula seperti sukrosa, fruktosa dan glukosa. Bahkan kesemua kandungan gula dalam pisang ini amat diperlukan kepada kanak-kanak. Bahkan pada masa dulu, orang-orang tua menjadikan pisang bakar yang dilecek untuk diberikan kepada bayi dan anak-anak mereka bertujuan untuk mendapatkan tenaga berbanding kini yang menggunakan makanan segera dalam tin seperti nestum dan sebagainya.

Menurut Kandungan Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR, 1988) bahawa, pisang juga kaya dengan Vitamin A (50 mcg), Karotin (300 mcg), Vitamin B1 (0.07 mg), Vitamin B2 (0.08 mg), Niasin (0.7 mg) dan Vitamin C (17.3 mg). Manakala bahan-bahan galiannya pula terdiri dari Kalium (241 mg), Natrium (29 mg), Fosforus (28 mg), Kalsium (11 mg) dan Ferum (0.6 mg). Manakala kandungan zat yang lain seperti Protein (1.3 g), Karbohidrat (23.6 g), Serat (0.5 g), Abu (0.9 g), Lemak (0.4 g), Air (73.3 g) dan Tenaga (103 kcal).

Selain boleh dimakan segar, pisang boleh digoreng, dibuat kek dan kuih.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g) dan Kilokalori (kcal).

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 12 November 2014

Pokok Bayam Duri


POKOK BAYAM DURI

BAYAM DURI:  Sekali lihat Pokok Bayam Duri atau dikenali juga Pokok Bayam Hutan atau dalam bahasa latin disebut Amaranthus spinosus ini kebanyakannya dikenali sebagai rumput biasa dalam hutan kerana spesis tumbuhan ini berbunga. Agak menarik, pokok ini yang tumbuh liar terutamanya di kawasan perumahan, ladang dan di kawasan jalan-jalan kampung seperti di kawasan tanah gembur dan peroi apatah lagi di kawasan yang terdedah dengan kepanasan matahari serta hujan dan air yang banyak pokok ini mudah membesar dengan cepat.

Apabila dilihat tentang struktur dan bentuk daunnya yang berurat dan berserat seakan sama dengan pokok bayam biasa (daunnya berwarna ungu), amat jelas pokok ini tergolong dalam spesis bayam juga, tetapi disebabkan tumbuhnya di kawasan semak dan hutan itu saja yang dikatakan agak pelik.

Difahamkan pokok bayam duri ini berasal dari suku Amanranthaceae. Di daerah Indonesia pokok ini mempunyai pelbagai nama seperti Bayam Kerui, Senggang Cucuk, Bayam Eri, Baya, Sianu Katinting, Kedawu Wawau dan Bayam Kikihan.

Banyak khasiat serta keistimewaan Pokok Bayam Duri kerana masyarakat Melayu pernah menjadikannya sebagai sayur-sayuran dan herba dalam perubatan tradisional Melayu zaman lampau. Selain pokok ini boleh dijadikan sayur-sayuran masak air (campur ikan bilis dan udang kering), digoreng dan direbus, sesuatu yang menarik apabila pokok ini bernilai perubatan dianggap paling penting.

Antara nilai perubatan ialah dapat merawat kencing bernanah, kencing tidak lawas, radang saluran pernafasan (bronkitis), sakit gigi, demam, sakit tenggorok, kalenjar, radang rahim, lambat haid, batu hempedu, bisul, keputihan dan tambah darah.

Kaedah penyediaan:

1. Bersihkan pokok bayam duri itu sehingga akarnya.
2. Potong bunga, batang, daun dan akar.
3. Rebus bunga, batang, daun dan akarnya dalam periuk (seeloknya periuk tanah liat).
4. Makan kesemua isinya.
5. Minumlah air rebusan itu dua kali sehari.


Pokok bayam duri berlainan jenis, tumbuh di hadapan rumah (kawasan yang sama)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 28 Jun 2014

Pokok Susu Kelapa


POKOK SUSU KELAPA

POKOK SUSU KELAPA: Pokok berkenaan boleh juga diistilahkan sebagai pokok herba kerana bersifat merawat dan meredakan penyakit. Malah ia juga termasuk dalam kategori pokok bunga. Ini kerana, masyarakat kampung yang mempunyai kegemaran menanam bunga, pastinya akan turut menanam pokok susu kelapa kerana bunganya yang berwarna putih dan cantik.

Pokok ini senang ditanam dan mudah hidup sama ada ditanam di dalam pasu bunga mahupun di tanah gembur atau peroi. Pokok ini amat tahan dengan cuaca panas mahupun di kawasan hujan yang menakung air. 

Walau bagaimanapun, pokok susu kelapa mempunyai keistimewaan dan khasiatnya terhadap kesihatan manusia terutamanya untuk kegunaan pada bayi, kanak-kanak, remaja dan orang-orang dewasa boleh menggunakan pokok ini dalam perubatan tradisional berasaskan herba.

Pokok susu kelapa mempunyai khasiat merawat demam, selsema dan meredakan panas badan yang tidak sihat.

Kaedah menggunakan pokok susu kelapa ini ialah dengan mengambil beberapa helai daunnya lalu ramaslah dan masukkan ke dalam air. Air yang dicampurkan dengan ramasan pokok susu kelapa ini boleh dibuat mandi beberapa kali.



Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 27 Disember 2013

Daun Limau Purut


DAUN LIMAU PURUT

LIMAU PURUT: LIMAU PURUT atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Citrus hystrix" adalah sejenis limau yang berbau wangi yang banyak digunakan dalam kaedah rawatan tradisional dan sebagai tumbuhan yang mujarab untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Malah, siapa tahu, daun limau purut juga turut digunakan dalam pembuatan ubat-ubatan moden.

Limau purut yang kulitnya berbentuk berbonjol-bonjol itu juga kaya dengan pelbagai khasiat vitamin dan mineral yang diperlukan oleh kesihatan manusia. Limau purut kaya dengan kandungan Karotena (16 mcg), Vitamin A (3 mcg), Vitamin B1 (0.02 mg), Vitamin B2 (0.07 mg) dan Vitamin C (37.0 mg). Selain itu, limau purut juga mengandungi kadar bahan-bahan galian seperti Kalium (172 mg), Kalsium (57 mg), Natrium (6 mg), Fosforus (2 mg) dan Ferum (0.1 mg). Khasiat lain pula seperti Karbohidrat (8.5 g), Protein (0.8 g), Serat (0.8 g), Lemak (0.6 g), Abu (0.7 g), Air (88.6 g) dan Tenaga (43 kcal).
(Sumber: Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988).

Daun limau purut lazimnya digunakan di dalam masakan Melayu seperti tom yam, laksa, bahan perisa dalam kuah sate, sate, perisa daging goreng dan pelbagai jenis masakan lagi kerana baunya dikatakan paling unik. Selain itu, daun limau purut juga digunakan sebagai herba yang turut digunakan dalam kaedah mandi wap. Malah, mungkin ramai yang tidak pernah mendengar, daun limau purut juga boleh dijadikan ulam mentah. Semakin tua daunnya itu semakin banyak kandungan zatnya walaupun dianggap keras tetapi boleh dikunyah dengan agak baik.

Daun limau purut selain menjadi penawar penyakit, ia berkhasiat kepada kesihatan manusia. Apabila anda memakannya sebagai ulam mentah dapat merawat resdung, masalah sering bersin, selsema, masalah pernafasan (hidung tersumbat) selain dapat merawat masalah buasir, kencing tidak lawas dan masalah buang air besar.

Daun limau purut juga bertindak dalam mencegah penyakit kanser dan merupakan tumbuh-tumbuhan terbaik pernah digunakan untuk mencuci rambut, mulut dan melicinkan kulit. Daun limau purut juga dapat merawat luka, lebam, gigitan serangga, dapat membunuh pacat serta merangsang perjalanan darah.

Dalam hal ini, ramai yang masih tidak mengetahui tentang khasiatnya. Disebabkan hal berkenaan, ada yang menebang dan membakarnya kerana dianggap menyampah, padahal daunnya itu menampung pelbagai kegunaan dan khasiatnya terhadap kesihatan manusia.

Daun limau purut banyak digunakan dalam masakan Melayu dan sebagai persediaan herba untuk kesihatan.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH