DIET SIHAT: Majalah Maya . Rencana . Foto . Herba . Ulam . Sayur-sayuran . Buah-buahan . Rawatan Terbaik Dari Sumber Tumbuh-tumbuhan . Mencegah Lebih Baik Dari Merawat . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 23 Jun 2016

Pisang


PISANG

PISANG atau dalam bahasa saintifiknya dikenali “Musa sapiantium” dan "M. paradisiaca”. Bahkan kalau dihitung nama dan jenisnya pula, kira-kira 20 jenis pisang di dunia seperti pisang talang, kapas, awak, susu, berangan, kari, embun, embun biasa, kelat keling, rastali, khaki, lidi, lemak manis, nipah, nangka, abu, mas dan tanduk raja.

Pisang sama ada dimakan segar, digoreng, dibuat kek dan kuih, hakikatnya pisang memberikan pelbagai khasiat dan keistimewaan kepada tubuh manusia berdasarkan jenis-jenis pisang tertentu. Namun, ada yang beranggapan pisang adalah sekadar pisang saja tanpa memperhitungkan tentang keistimewaannya kepada tubuh badan manusia.

Walaupun segelintir di kalangan kita tidak begitu menggemari pisang atas pelbagai sebab seperti tidak berselera, tidak enak dimakan, akan mengundang penyakit apabila memakan pisang dan sebagainya. Namun, hakikatnya pisang mempunyai khasiat tertentu kerana bahan makanan ini mengandungi beberapa jenis vitamin dan zat galian yang antara lain dapat membekalkan tenaga yang secukupnya untuk melakukan senaman dan kerja terutamanya kepada golongan atlet dan penggiat sukan lasak.

Selain itu, pisang mengandungi asid, enzim dan sebatian kimia. Ia juga mengandungi tiga jenis gula seperti sukrosa, fruktosa dan glukosa. Bahkan kesemua kandungan gula dalam pisang ini amat diperlukan kepada kanak-kanak. Bahkan pada masa dulu, orang-orang tua menjadikan pisang bakar yang dilecek untuk diberikan kepada bayi dan anak-anak mereka bertujuan untuk mendapatkan tenaga berbanding kini yang menggunakan makanan segera dalam tin seperti nestum dan sebagainya.

Menurut Kandungan Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR, 1988) bahawa, pisang juga kaya dengan Vitamin A (50 mcg), Karotin (300 mcg), Vitamin B1 (0.07 mg), Vitamin B2 (0.08 mg), Niasin (0.7 mg) dan Vitamin C (17.3 mg). Manakala bahan-bahan galiannya pula terdiri dari Kalium (241 mg), Natrium (29 mg), Fosforus (28 mg), Kalsium (11 mg) dan Ferum (0.6 mg). Manakala kandungan zat yang lain seperti Protein (1.3 g), Karbohidrat (23.6 g), Serat (0.5 g), Abu (0.9 g), Lemak (0.4 g), Air (73.3 g) dan Tenaga (103 kcal).

Selain boleh dimakan segar, pisang boleh digoreng, dibuat kek dan kuih.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g) dan Kilokalori (kcal).

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH