PISANG
PISANG atau dalam bahasa
saintifiknya dikenali “Musa sapiantium” dan "M. paradisiaca”. Bahkan kalau
dihitung nama dan jenisnya pula, kira-kira 20 jenis pisang di dunia seperti pisang
talang, kapas, awak, susu, berangan, kari, embun, embun biasa, kelat keling,
rastali, khaki, lidi, lemak manis, nipah, nangka, abu, mas dan tanduk raja.
Pisang sama ada dimakan segar, digoreng, dibuat kek dan kuih, hakikatnya pisang memberikan pelbagai khasiat dan keistimewaan kepada tubuh
manusia berdasarkan jenis-jenis pisang tertentu. Namun, ada yang beranggapan
pisang adalah sekadar pisang saja tanpa memperhitungkan tentang keistimewaannya
kepada tubuh badan manusia.
Walaupun segelintir di kalangan
kita tidak begitu menggemari pisang atas pelbagai sebab seperti tidak
berselera, tidak enak dimakan, akan mengundang penyakit apabila memakan pisang
dan sebagainya. Namun, hakikatnya pisang mempunyai khasiat tertentu kerana
bahan makanan ini mengandungi beberapa jenis vitamin dan zat galian yang antara
lain dapat membekalkan tenaga yang secukupnya untuk melakukan senaman dan kerja terutamanya
kepada golongan atlet dan penggiat sukan lasak.
Selain itu, pisang mengandungi
asid, enzim dan sebatian kimia. Ia juga mengandungi tiga jenis gula seperti
sukrosa, fruktosa dan glukosa. Bahkan kesemua kandungan gula dalam pisang ini
amat diperlukan kepada kanak-kanak. Bahkan pada masa dulu, orang-orang tua
menjadikan pisang bakar yang dilecek untuk diberikan kepada bayi dan anak-anak mereka bertujuan untuk mendapatkan tenaga berbanding
kini yang menggunakan makanan segera dalam tin seperti nestum dan sebagainya.
Menurut Kandungan Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR,
1988) bahawa, pisang juga kaya dengan Vitamin A (50 mcg), Karotin (300 mcg), Vitamin
B1 (0.07 mg), Vitamin B2 (0.08 mg), Niasin (0.7 mg) dan Vitamin C (17.3 mg).
Manakala bahan-bahan galiannya pula terdiri dari Kalium (241 mg), Natrium (29
mg), Fosforus (28 mg), Kalsium (11 mg) dan Ferum (0.6 mg). Manakala kandungan
zat yang lain seperti Protein (1.3 g), Karbohidrat (23.6 g), Serat (0.5 g), Abu
(0.9 g), Lemak (0.4 g), Air (73.3 g) dan Tenaga (103 kcal).
Selain boleh dimakan segar, pisang boleh digoreng, dibuat kek dan kuih.
Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g) dan Kilokalori (kcal).
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan