Sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan dan herba mempunyai kebaikan dan keistimewaan yang terbaik dan paling sempurna. Ini kerana, bukan saja ia adalah tumbuh-tumbuhan yang diambil secara segar, dimakan atau di rebus secara segar tanpa melalui proses pemanasan yang melampau.
Sayur-sayuran
Sayur-sayuran yang diambil secara segar dan dimasak secara sempurna akan menampung kandungan zat yang diperlukan oleh tubuh seperti vitamin dan garam-galian. Walaupun dalam zaman moden sekarang, terdapat sayur-sayuran masak segera yang dipek, dibungkus, ditinkan dan dibotolkan, namun cara masakan begitu pastinya akan hilang kualiti dan kuantitinya. Apatah lagi, jika ada penggunaan bahan penambah, bahan pengawet dan bahan pengemulsi tentunya sayur-sayuran yang dimasak seperti itu tidak dianggap sayur-sayuran masak segar.
Ulam-ulaman
Banyak pokok-pokok ulam yang tumbuh subur di dalam hutan di negara kita bahkan ada di antaranya yang tumbuh berdekatan dengan kawasan rumah kita. Tumbuh-tumbuhan (ulam) seumpama ini adalah ulam-ulaman segar yang boleh dimakan terus selepas dicuci dan dibersihkan. Jangan dengar desas-desus dan umpatan orang kononnya bahaya memakan ulam kerana terdapatnya serangga seperti ulat yang mendiami daun itu. Dalam hal ini, takkanlah apabila kita memetik daun ulam, kita terus suap ke mulut, tentunya perlu dicuci terlebih dahulu.
Di samping itu, di zaman moden ini terdapat ulam-ulaman yang telah dipekkan ke dalam plastisin yang dijual di beberapa pasar raya yang tentunya memudahkan pengguna untuk membelinya. Keistimwaan pokok-pokok ulam ialah membekalkan kandungan vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh.
Satu hal lagi, terdapat sesetengah pokok ulam yang perlu melalui proses rebusan. Jika perlunya pokok atau daun ulam itu direbus, segala vitamin dan bahan-bahan galian (mineral) akan turun dalam air rebusan itu. Sebaiknya, air itu jangan dibuang tetapi hendaklah diminum. Kalau mengharapkan zat pada ulam yang telah direbus pastinya telah berkurangan kerana telah turun dalam air itu.
Buah-buahan
Buah-buahan juga kaya dengan segala zat, vitamin serta bahan-bahan galian yang terbaik. Buah-buahan memang kaya dengan serat yang diperlukan oleh tubuh. Perbanyakkanlah memakan buah-buahan kerana ia menampung segalanya dan darinya juga dapat menghindarkan segala masalah penyakit.
Herba
Herba mempunyai dua kategori iaitu herba dari batang, akar dan daun kayu. Tetapi perlu diingat, herba juga boleh diperolehi dari ulam-ulam yang dikenali ulam-ulam herba. Keperluan kepada herba perlu diberikan perhatian dan herba mempunyai banyak keistimewaannya yang tersendiri. Jangan abaikan pengambilan herba.
Justeru, Allah tidak jadikan alam untuk dihuni oleh manusia adalah sia-sia. Dari alam itu pula terdapat pelbagai hiasan dan dari alam itu juga ada penawarnya dari tumbuh-tumbuhan itu. Manfaatkan sepenuhnya keperluan, keistimewaan dan kebaikan tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan sebagai bahan perubatan dan penawar. Jangan musnahkan tumbuh-tumbuhan kerana hutan dan tumbuh-tumbuhan itu terkandung bahan-bahan yang diperlukan oleh tubuh sebagai bahan untuk menghalang dan mengatasi masalah penyakit yang dihidapi manusia.
- Editor: Azmi Mohd. Salleh