DIET SIHAT: Majalah Maya . Rencana . Foto . Herba . Ulam . Sayur-sayuran . Buah-buahan . Rawatan Terbaik Dari Sumber Tumbuh-tumbuhan . Mencegah Lebih Baik Dari Merawat . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Rabu, 12 November 2014

Pokok Bayam Duri


POKOK BAYAM DURI

BAYAM DURI:  Sekali lihat Pokok Bayam Duri atau dikenali juga Pokok Bayam Hutan atau dalam bahasa latin disebut Amaranthus spinosus ini kebanyakannya dikenali sebagai rumput biasa dalam hutan kerana spesis tumbuhan ini berbunga. Agak menarik, pokok ini yang tumbuh liar terutamanya di kawasan perumahan, ladang dan di kawasan jalan-jalan kampung seperti di kawasan tanah gembur dan peroi apatah lagi di kawasan yang terdedah dengan kepanasan matahari serta hujan dan air yang banyak pokok ini mudah membesar dengan cepat.

Apabila dilihat tentang struktur dan bentuk daunnya yang berurat dan berserat seakan sama dengan pokok bayam biasa (daunnya berwarna ungu), amat jelas pokok ini tergolong dalam spesis bayam juga, tetapi disebabkan tumbuhnya di kawasan semak dan hutan itu saja yang dikatakan agak pelik.

Difahamkan pokok bayam duri ini berasal dari suku Amanranthaceae. Di daerah Indonesia pokok ini mempunyai pelbagai nama seperti Bayam Kerui, Senggang Cucuk, Bayam Eri, Baya, Sianu Katinting, Kedawu Wawau dan Bayam Kikihan.

Banyak khasiat serta keistimewaan Pokok Bayam Duri kerana masyarakat Melayu pernah menjadikannya sebagai sayur-sayuran dan herba dalam perubatan tradisional Melayu zaman lampau. Selain pokok ini boleh dijadikan sayur-sayuran masak air (campur ikan bilis dan udang kering), digoreng dan direbus, sesuatu yang menarik apabila pokok ini bernilai perubatan dianggap paling penting.

Antara nilai perubatan ialah dapat merawat kencing bernanah, kencing tidak lawas, radang saluran pernafasan (bronkitis), sakit gigi, demam, sakit tenggorok, kalenjar, radang rahim, lambat haid, batu hempedu, bisul, keputihan dan tambah darah.

Kaedah penyediaan:

1. Bersihkan pokok bayam duri itu sehingga akarnya.
2. Potong bunga, batang, daun dan akar.
3. Rebus bunga, batang, daun dan akarnya dalam periuk (seeloknya periuk tanah liat).
4. Makan kesemua isinya.
5. Minumlah air rebusan itu dua kali sehari.


Pokok bayam duri berlainan jenis, tumbuh di hadapan rumah (kawasan yang sama)

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 28 Jun 2014

Pokok Susu Kelapa


POKOK SUSU KELAPA

POKOK SUSU KELAPA: Pokok berkenaan boleh juga diistilahkan sebagai pokok herba kerana bersifat merawat dan meredakan penyakit. Malah ia juga termasuk dalam kategori pokok bunga. Ini kerana, masyarakat kampung yang mempunyai kegemaran menanam bunga, pastinya akan turut menanam pokok susu kelapa kerana bunganya yang berwarna putih dan cantik.

Pokok ini senang ditanam dan mudah hidup sama ada ditanam di dalam pasu bunga mahupun di tanah gembur atau peroi. Pokok ini amat tahan dengan cuaca panas mahupun di kawasan hujan yang menakung air. 

Walau bagaimanapun, pokok susu kelapa mempunyai keistimewaan dan khasiatnya terhadap kesihatan manusia terutamanya untuk kegunaan pada bayi, kanak-kanak, remaja dan orang-orang dewasa boleh menggunakan pokok ini dalam perubatan tradisional berasaskan herba.

Pokok susu kelapa mempunyai khasiat merawat demam, selsema dan meredakan panas badan yang tidak sihat.

Kaedah menggunakan pokok susu kelapa ini ialah dengan mengambil beberapa helai daunnya lalu ramaslah dan masukkan ke dalam air. Air yang dicampurkan dengan ramasan pokok susu kelapa ini boleh dibuat mandi beberapa kali.



Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH