PUCUK PAKU
PUCUK PAKU atau dalam bahasa saintifiknya disebut "Diplazium esculentum" adalah sayur-sayuran yang tumbuh subur dan liar di kawasan-kawasan tanah lembab seperti di
tepi-tepi sungai dan parit. Walaupun di kawasan terbabit tidak mempunyai baja, namun pucuk paku dari koloni paku-pakis ini dapat membiak dengan baik seandainya di kawasan
yang dimaksudkan itu tidak diteroka atau terdedah kepada kepanasan cahaya matahari
yang keterlaluan.
Masyarakat
kampung dan bahagian pedalaman memang sedia maklum, pucuk paku amat
lazat jika digoreng atau kadangkala mereka menyediakan juadah berkenaan
dengan merebusnya untuk dicecah bersama sos, kicap dan dengan budu (sos
dari Kelantan). Sediakan bawang merah yang telah dipotong halus lalu
dicampurkan beberapa ulas lada kecil. Pucuk paku yang direbus siap untuk
dimakan bersama nasi.
Pucuk
paku juga tersenarai dalam juzuk pemakanan yang kaya dengan pelbagai
vitamin, garam galian dan khasiat pemakanan yang lain. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988),
pucuk paku memang kaya dengan Karotena (1319 mcg), Vitamin A (220 mcg),
Vitamin B1 (0.04 mg), Vitamin B2 (0.14 mg), Niasin (0.7 mg) dan Vitamin
C (34.3 mg). Manakala garam galiannya terdiri dari Kalium (389 mg),
Fosforus (100 mg), Kalsium (94 mg), Natrium (19 mg) dan Ferum (4.8 mg).
Zat pemakanan lain pula terdiri dari Protein (2.5 g), Karbohidrat (4.6
g), Serat (1.1 g), Lemak (0.2 g), Abu (1.1 g), Air (90.5 g) serta Tenaga
(30 kcal).
Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan