DIET SIHAT: Majalah Maya . Rencana . Foto . Herba . Ulam . Sayur-sayuran . Buah-buahan . Rawatan Terbaik Dari Sumber Tumbuh-tumbuhan . Mencegah Lebih Baik Dari Merawat . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 25 Julai 2013

Pokok Kaduk


POKOK KADUK

POKOK KADUK atau dalam bahasa saintifiknya "Piper sarmentosum roxb" ini dikenali juga "sirih duduk" disebabkan daunnya hampir sama dengan sirih, sejenis tumbuhan herba yang hidup menjalar malah mudah membiak di kawasan lembab dan dalam suasana yang teduh jika ditanam di kawasan dinding atau pagar rumah.

Lazimnya, daun kaduk boleh dijadikan sebagai ulam mentah atau dimasak gulai lemak yang dicampurkan dengan sayur-sayuran lain.

Daun kaduk mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan seperti dapat menyembuhkan selsema, batuk, sakit hidung, sakit telinga, masalah bengkak hati, demam malaria dan sakit pinggang. Selain itu, daun kaduk juga dapat merawat sakit kepala apabila daunnya itu ditumbuk (dilumatkan) dan dilekapkan di atas kepala.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 14 Julai 2013

Pucuk Baling Adat



PUCUK BALING ADAT

PUCUK BALING ADAT mempunyai batang yang agak kecil, apabila angin bertiup pokok ini akan bergoyang ke kiri dan ke kanan, ke hadapan dan ke belakang dan kadang-kadang pokok ini berpusing seperti "baling" menurut tiupan angin itu, apatah lagi bentuk daun pucuknya seperti baling yang boleh berpusing kerana terlalu ringan, kerana itulah ia dipanggil baling adat. Pokok ini banyak tumbuh di kampung secara liar sebab itulah ia digelarkan "ulam kampung" yang sering dijadikan oleh penggemarnya sebagai ulam mentah. Pokok ini tumbuh liar di kawasan tanah lembab dan gambut dan jarang ditemui dan setakat ini Penulis hanya menemuinya di kawasan hutan dan semak-samun di Pasir Mas sahaja.

Disebabkan pucuk baling adat amat kurang ditemui, dengan itu jarang yang mengenalinya apatah lagi Wartawan DIET SIHAT tidak pernah berasa kehadiran pucuk ini dalam ulam nasi kerabu. Malah tempat jualan ulam kayu di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu sendiri, Penulis tidak pernah menemui pucuk baling adat ini dijual di situ.

Khasiat dan keistimewaan pucuk baling adat ialah awet muda, sesuai untuk kulit, merawat kencing manis, darah tinggi, kanser, masalah angin dalam perut, merawat penghadaman dan buasir.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Pucuk Gucil


PUCUK GUCIL

PUCUK GUCIini juga banyak tumbuh di kawasan hutan dan semak belukar di kampung-kampung dan bahagian pedalaman secara liar. Selain daunnya yang muda boleh dijadikan ulam mentah, pokok gucil juga mempunyai buahnya sebesar lada hitam yang kadang-kadang berwarna merah, kuning dan hijau. Lazimnya, masyarakat kampung akan menjadikan buah-buahnya yang kecil itu sebagai "colek" dengan memasukkan sedikit gula, garam, cili kecil dan air suam. Ulam ini juga dianggap sebagai "ulam kampung" kerana tidak pernah ditemui ulam ini di dalam ulam nasi kerabu kerana tukang masak kita jarang yang mengenalinya.

Namun, bagi penggemar ulam mentah akan menjadikan pucuknya untuk dimakan bersama nasi yang dicecah dengan sos cili, kicap mahupun sos dari Kelantan (budu) yang dicampur dengan cili dan bawang merah. Pucuk ini boleh dimakan bersama dengan ulam-ulam mentah yang lain, selain petai mentah dan jering.

Khasiat terbaik pucuk gucil dan buahnya itu adalah boleh merawat penyakit kencing manis, darah tinggi, masalah penghadaman, ulser dan buasir, masalah jerawat dan pembuangan kumuh.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Pucuk Mata Ayam


PUCUK MATA AYAM

PUCUK MATA AYAM ini banyak ditemui dan tumbuh di kawasan semak-samun di kampung-kampung dan di bahagian pedalaman secara liar. Pucuk mata ayam dianggap pokok ulam kampung kerana hanya penduduk-penduduk desa sahaja yang mengenali pokok ini kerana kelaziman mereka memetik pucuknya untuk dijadikan ulam mentah.

Pucuk mata ayam tidak begitu dikenali di kawasan bandar malah golongan warga emas hari ini juga tidak akan mengecam sifatnya daunnya yang seakan sama dengan daun pudina dan pokok puding. Malah ada yang mengatakan pucuk mata ayam tidak boleh dimakan kononnya gatal. Dengan demikian, pucuk mata ayam tidak pernah ditemui dalam ulam nasi kerabu kerana tukang masak kita tidak mengenali pokok ini boleh dijadikan ulam mentah dan ulam kerabu. Jangan salah faham! Pokok ini tidak memabukkan penggemar yang memakannya.

Pucuk mata ayam adalah khasiat terbaik untuk kesihatan. Jika sering mengamalkan pengambilannya sebagai makanan mentah dan ulam boleh membantu menyelesaikan masalah kulit, merawat dan mencegah kencing manis, darah tinggi, masalah saraf yang terseliuh selain menyelesaikan masalah penghadaman dan buasir.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 7 Julai 2013

Timun


TIMUN

TIMUN atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Cucumis sativus" memang banyak didapati di pasar-pasar di negara kita. Di Kota Bharu, timun boleh dibeli di beberapa pasar tersohor seperti di terminal makanan (RTC), Pasar Siti Khadijah, Pasar Berek 12 dan Pasar Besar Ketereh. Malah timun mudah ditanam menggunakan biji benih yang siap dijual dengan harga yang berpatutan dan cara menanamnya agak kompleks dan mudah sama ada menggunakan baja bakar dan najis haiwan.

Timun yang tergolong dalam sayur-sayuran jenis buah dipercayai dapat merawat mabuk terutamanya bagi indvidu yang memandu kenderaan dalam jarak yang jauh, makanlah sebiji timun kerana sayur-sayuran ini dapat merawat penyakit mabuk dan pening. Manakala bijinya yang mengandungi "saponin" boleh merawat masalah perut meragam dan cirit-birit di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), timun mengandungi kadar Vitamin B1 (0.03 mg), Vitamin B2 (0.06 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin C (9.7 mg). Manakala kandungan garam galiannya terdiri dari Kalium (76 mg), Fosforus (21 mg), Kalsium (14 mg), Natrium (13 mg) dan Ferum (0.2 mg). Khasiat pemakanan lain pula seperti Protein (0.5 g), Karbohidrat (3.4 g), Serat (0.6 g), Abu (0.5 g), Air (95.0 g) dan Tenaga (16 kcal). Timun tidak mengandungi kadar lemak tidak sebagaimana sayur-sayuran lain.

Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Kacang Bendi


KACANG BENDI

KACANG BENDI atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Hibiscus esculentus" adalah tergolong dalam kalangan sayur-sayuran jenis buah. Kacang bendi boleh hidup di kawasan tanah lembab atau terbiar. Apabila buahnya semakin tua, kulitnya merekah dan apabila biji di dalamnya keluar, bijinya mudah bercambah apabila sesuai dengan sifat tanah di persekitarannya.

Kacang bendi sering dimasak bersama kari sama ada kari daging, ayam mahupun ikan. Walau bagaimanapun, kacang bendi boleh direbus atau dimakan sebagai ulam mentah kerana sayur-sayuran jenis ini mendatangkan banyak kebaikan kepada kesihatan manusia.

Keistimewaan kacang bendi ialah dapat merawat penyakit saraf yang sakit dan terseliuh selain menyelesaikan masalah penghadaman dan pembuangan bahan kumuh dan perubatan mata. Lendir yang terdapat dalam sayur-sayuran ini boleh menjauhkan gangguan bakteria dan kuman selain dapat merawat masalah sendi dan saraf. Lendir ini juga didakwa sebagai bahan perawat terbaik yang ditemui dalam sayur-sayuran.

Kacang bendi memang kaya dengan kandungan zat makanan. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), kacang bendi kaya dengan Karotena (200 mcg), Vitamin A (33 mcg), Vitamin B1 (0.10 mg), Vitamin B2 (0.16 mg), Niasin (0.7 mg) dan Vitamin C (19.3 mg). Manakala garam galiannya terdiri dari Kalium (80 mg), Kalsium (77 mg), Fosforus (32 mg), Natrium (30 mg) dan Ferum (1.5 mg). Kandungan zat lain seperti Protein (1.7 g), Karbohidrat (5.9 g), Serat (1.0 g), Lemak (0.1 g), Abu (0.8 g), Air (90.5 g) dan Tenaga (31 kcal).

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

 Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ketola Segi


KETOLA SEGI

KETOLA SEGI atau dalam bahasa saintifiknya disebut "Luffa acutangula" adalah sayur-sayuran kegemaran masyarakat kampung dan bahagian pedalaman. Disebabkan hal itu, kita dapati di kebanyakan kebun sayur-sayuran, tidak sah jika penduduk di kawasan terbabit tidak menanam ketola segi. Melihat keadaan kulitnya agak keras, namun apabila dimasak ketola segi adalah sayur-sayuran yang agak lembut.

Ketola segi termasuk dalam golongan sayur-sayuran jenis buah dan sayur-sayuran ini lazimnya dimasak singgang dan bersama kari. Malah bagi penggemar ulam, mereka merebusnya sehingga empuk dan lembut untuk dicecah bersama sos, kicap mahupun budu. Ketola segi baik untuk kesihatan manusia seperti menambah selera bagi yang kurang berselera, menyelesaikan masalah penghadaman, buangan kumuh, perut meragam dan cirit-birit. Biji yang terdapat dalam buahnya juga berperanan merawat cirit-birit dan perut kembung.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), ketola segi mengandungi Karotena (17 mcg), Vitamin A (3 mcg), Vitamin B1 (0.05 mg), Vitamin B2 (0.05 mg), Niasin (0.6 mg) dan Vitamin C (4.9 mg). Manakala kandungan zat galiannya pula terdiri dari Kalium (142 mg), Natrium (45 mg), Kalsium (28 mg) dan Ferum (0.7 mg). Kandungan zat pemakanan lain terdiri dari Protein (1.1 g), Karbohidrat (2.9 g), Serat (0.6 g), Lemak (0.4 g), Abu (0.8 g), Air (94.2 g) dan Tenaga (20 kcal).
Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Kacang Botor


KACANG BOTOR

KACANG BOTOR atau dalam bahasa saintifiknya disebut "Psophocarpus tetragonolobus" banyak ditanam oleh golongan wanita warga emas di kampung-kampung dan bahagian pedalaman. Salah satunya, sayur-sayuran ini mudah hidup walaupun hujan lebat atau dalam keadaan kering.

Kacang botor banyak keistimewaannya terhadap kesihatan manusia iaitu sesuai untuk masalah kulit, mata, masalah penghadaman, perut bermasalah dan buncit, tenaga seks rendah, sesuai untuk aliran darah lebih sempurna, buangan kumuh menjadi lebih sempurna dan awet muda.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), kacang botor mengandungi kadar Karotena (293 mcg), Vitamin A (49 mcg), Vitamin B1 (0.06 mg), Vitamin B2 (0.12 mg), Niasin (0.5 mg) serta Vitamin C (11.3 mg). Manakala garam galiannya pula terdiri dari Kalium (91 mg), Kalsium (36 mg), Fosforus (31 mg), Natrium (2 mg) dan Ferum (0.8 mg). Zat pemakanan lain pula seperti Protein (2.2 g), Karbohidrat (3.1 g), Serat (2.1 g), Lemak (0.2 g), Abu (0.4 g), Air (92.0 g) dan Tenaga (23 kcal).

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g) dan Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Terung


TERUNG

TERUNG atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Solanum melongena" banyak ditanam di kampung-kampung dan bahagian pedalaman. Sayur-sayuran ini juga banyak dijual di beberapa pasar tersohor di Kota Bharu.

Terung, sayur-sayuran dalam katogeri jenis buah ini memang sesuai jika dimasak bersama kari, digoreng, direbus mahupun dimakan sebagai ulam mentah. Disebabkan buahnya agak lembut, kadang-kadang terung boleh dimakan begitu sahaja dan jika dijadikan ulam mentah juga menjadi kegemaran sesetengah individu yang meminati ulam.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), terung mengandungi Karotena (90 mcg), Vitamin A (15 mcg), Vitamin B1 (0.07 mg), Vitamin B2 (0.05 mg), Niasin (0.7 mg) dan Vitamin C (18.4 mg). Manakala garam galiannya terdiri dari Kalium (55 mg), Fosforus (20 mg), Kalsium (15 mg), Natrium (9 mg) dan Ferum (0.6 mg). Khasiat pemakanan lain pula seperti Protein (1.7 g), Karbohidrat (5.6 g), Serat (1.0 g), Lemak (0.1 g), Abu (0.4 g), Air (91.2 g) dan Tenaga (30 kcal).

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Lobak


LOBAK

LOBAK atau dalam bahasa saintifiiknya disebut "Raphanus sativus" sering disalahertikan sebagai sawi iaitu sejenis sayur-sayuran yang seakan sama dengan lobak. Sawi tersohor di kalangan masyarakat di negara China.

Lobak tergolong dalam kalangan sayur-sayuran jenis daun yang amat enak jika digoreng bersama daging yang dicampur dengan petai dan halia kerana juzuk pemakanan ini amat baik untuk kesihatan.

Lobak juga tersenarai dalam juzuk pemakanan sihat yang telah dibuat kajian. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), lobak mengandungi Vitamin B1 (0.08 mg), Vitamin B2 (0.04 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin C (23.4 mg). Manakala kandungan garam galiannya terdiri dari Kalium (71 mg), Natrium (52 mg), Kalsium (38 mg), Fosforus (15 mg) dan Ferum (0.9 mg). Khasiat makanan lain pula terdiri dari Protein (0.7 g), Karbohidrat (2.4 g), Serat (1.1 g), Lemak (0.1 g), Abu (0.5 g), Air (95.2 g) dan Tenaga (13 kcal).

Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal) 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Pucuk Paku


PUCUK PAKU

PUCUK PAKU atau dalam bahasa saintifiknya disebut "Diplazium esculentum" adalah sayur-sayuran yang tumbuh subur dan liar di kawasan-kawasan tanah lembab seperti di tepi-tepi sungai dan parit. Walaupun di kawasan terbabit tidak mempunyai baja, namun pucuk paku dari koloni paku-pakis ini dapat membiak dengan baik seandainya di kawasan yang dimaksudkan itu tidak diteroka atau terdedah kepada kepanasan cahaya matahari yang keterlaluan.

Masyarakat kampung dan bahagian pedalaman memang sedia maklum, pucuk paku amat lazat jika digoreng atau kadangkala mereka menyediakan juadah berkenaan dengan merebusnya untuk dicecah bersama sos, kicap dan dengan budu (sos dari Kelantan). Sediakan bawang merah yang telah dipotong halus lalu dicampurkan beberapa ulas lada kecil. Pucuk paku yang direbus siap untuk dimakan bersama nasi.

Pucuk paku juga tersenarai dalam juzuk pemakanan yang kaya dengan pelbagai vitamin, garam galian dan khasiat pemakanan yang lain. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), pucuk paku memang kaya dengan Karotena (1319 mcg), Vitamin A (220 mcg), Vitamin B1 (0.04 mg), Vitamin B2 (0.14 mg), Niasin (0.7 mg) dan Vitamin C (34.3 mg). Manakala garam galiannya terdiri dari Kalium (389 mg), Fosforus (100 mg), Kalsium (94 mg), Natrium (19 mg) dan Ferum (4.8 mg). Zat pemakanan lain pula terdiri dari Protein (2.5 g), Karbohidrat (4.6 g), Serat (1.1 g), Lemak (0.2 g), Abu (1.1 g), Air (90.5 g) serta Tenaga (30 kcal).

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)   

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 6 Julai 2013

Serai


SERAI

SERAI atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Cymbopogon citratus" sering dianggapkan oleh kebanyakan masyarakat terutamanya penduduk-penduduk kampung memanggilnya "serai lalang" dan serai wangi yang tergolong sebagai pokok herba dan pokok ulam. Tanpa diketahui umum, serai juga banyak digunakan dalam ubat-ubatan moden, makanan dan minuman kesihatan selain digunakan dalam rawatan alternatif.

Lazimnya, serai banyak ditemui dalam masakan "tom yam" dan "sate" disebabkan tukang masak hari ini tidak begitu mengenali peranan, keistimewaan dan khasiat yang dimiliki serai tersebut berbanding di kalangan orang-orang tua zaman lampau. Serai selain boleh dijadikan sebagai ulam mentah dengan memotongnya halus boleh dimakan bersama nasi dan pencecah, serai juga boleh dijadikan sebagai ulam "nasi kerabu". Namun dewasa ini penggunaan serai untuk ulam nasi kerabu tidak pernah ditemui disebabkan tukang masak kita tidak begitu memahaminya secara mendalam tentang peranan serai terhadap makanan. Bahkan serai juga boleh direbus, dicampurkan sedikit garam lalu diminum airnya.

Serai juga turut menjalani kajian untuk mengesan kandungan tentang zatnya. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), serai atau dikenali "lemon grass" ini mengandungi Vitamin B1 (0.04 mg), Vitamin B2 (0.05 mg) dan Niasin (0.4 mg). Kandungan bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (288 mg), Fosforus (29 mg), Kalsium (28 mg), Natrium (2 mg) dan Ferum (1.1 mg). Sementara kandungan bahan-bahan lain seperti Protein (0.7 g), Karbohidrat (12.8 g), Serat (2.0 g), Lemak (0.7 g), Abu (0.8 g), Air (83.0 g) dan Tenaga (60 kcal).

Banyak keistimewaan, kelebihan dan khasiat dalam serai yang boleh merawat dan memulihkan penyakit jantung, kanser, kencing manis, darah tinggi, masalah paru-paru, gastrik, tekanan angin dalam perut, gout, mata, kulit, penyakit batu karang, awet muda, masalah rambut, perut meragam, merawat perut buncit, makanan tidak hadam, masalah pembuangan kumuh, kurang tenaga, masalah seks, aliran dan haemoglobin darah yang tidak normal.

Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH