DIET SIHAT: Majalah Maya . Rencana . Foto . Herba . Ulam . Sayur-sayuran . Buah-buahan . Rawatan Terbaik Dari Sumber Tumbuh-tumbuhan . Mencegah Lebih Baik Dari Merawat . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Pokok Ulam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pokok Ulam. Papar semua catatan

Ahad, 14 Julai 2013

Pucuk Baling Adat



PUCUK BALING ADAT

PUCUK BALING ADAT mempunyai batang yang agak kecil, apabila angin bertiup pokok ini akan bergoyang ke kiri dan ke kanan, ke hadapan dan ke belakang dan kadang-kadang pokok ini berpusing seperti "baling" menurut tiupan angin itu, apatah lagi bentuk daun pucuknya seperti baling yang boleh berpusing kerana terlalu ringan, kerana itulah ia dipanggil baling adat. Pokok ini banyak tumbuh di kampung secara liar sebab itulah ia digelarkan "ulam kampung" yang sering dijadikan oleh penggemarnya sebagai ulam mentah. Pokok ini tumbuh liar di kawasan tanah lembab dan gambut dan jarang ditemui dan setakat ini Penulis hanya menemuinya di kawasan hutan dan semak-samun di Pasir Mas sahaja.

Disebabkan pucuk baling adat amat kurang ditemui, dengan itu jarang yang mengenalinya apatah lagi Wartawan DIET SIHAT tidak pernah berasa kehadiran pucuk ini dalam ulam nasi kerabu. Malah tempat jualan ulam kayu di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu sendiri, Penulis tidak pernah menemui pucuk baling adat ini dijual di situ.

Khasiat dan keistimewaan pucuk baling adat ialah awet muda, sesuai untuk kulit, merawat kencing manis, darah tinggi, kanser, masalah angin dalam perut, merawat penghadaman dan buasir.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Pucuk Gucil


PUCUK GUCIL

PUCUK GUCIini juga banyak tumbuh di kawasan hutan dan semak belukar di kampung-kampung dan bahagian pedalaman secara liar. Selain daunnya yang muda boleh dijadikan ulam mentah, pokok gucil juga mempunyai buahnya sebesar lada hitam yang kadang-kadang berwarna merah, kuning dan hijau. Lazimnya, masyarakat kampung akan menjadikan buah-buahnya yang kecil itu sebagai "colek" dengan memasukkan sedikit gula, garam, cili kecil dan air suam. Ulam ini juga dianggap sebagai "ulam kampung" kerana tidak pernah ditemui ulam ini di dalam ulam nasi kerabu kerana tukang masak kita jarang yang mengenalinya.

Namun, bagi penggemar ulam mentah akan menjadikan pucuknya untuk dimakan bersama nasi yang dicecah dengan sos cili, kicap mahupun sos dari Kelantan (budu) yang dicampur dengan cili dan bawang merah. Pucuk ini boleh dimakan bersama dengan ulam-ulam mentah yang lain, selain petai mentah dan jering.

Khasiat terbaik pucuk gucil dan buahnya itu adalah boleh merawat penyakit kencing manis, darah tinggi, masalah penghadaman, ulser dan buasir, masalah jerawat dan pembuangan kumuh.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Pucuk Mata Ayam


PUCUK MATA AYAM

PUCUK MATA AYAM ini banyak ditemui dan tumbuh di kawasan semak-samun di kampung-kampung dan di bahagian pedalaman secara liar. Pucuk mata ayam dianggap pokok ulam kampung kerana hanya penduduk-penduduk desa sahaja yang mengenali pokok ini kerana kelaziman mereka memetik pucuknya untuk dijadikan ulam mentah.

Pucuk mata ayam tidak begitu dikenali di kawasan bandar malah golongan warga emas hari ini juga tidak akan mengecam sifatnya daunnya yang seakan sama dengan daun pudina dan pokok puding. Malah ada yang mengatakan pucuk mata ayam tidak boleh dimakan kononnya gatal. Dengan demikian, pucuk mata ayam tidak pernah ditemui dalam ulam nasi kerabu kerana tukang masak kita tidak mengenali pokok ini boleh dijadikan ulam mentah dan ulam kerabu. Jangan salah faham! Pokok ini tidak memabukkan penggemar yang memakannya.

Pucuk mata ayam adalah khasiat terbaik untuk kesihatan. Jika sering mengamalkan pengambilannya sebagai makanan mentah dan ulam boleh membantu menyelesaikan masalah kulit, merawat dan mencegah kencing manis, darah tinggi, masalah saraf yang terseliuh selain menyelesaikan masalah penghadaman dan buasir.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 6 Julai 2013

Serai


SERAI

SERAI atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Cymbopogon citratus" sering dianggapkan oleh kebanyakan masyarakat terutamanya penduduk-penduduk kampung memanggilnya "serai lalang" dan serai wangi yang tergolong sebagai pokok herba dan pokok ulam. Tanpa diketahui umum, serai juga banyak digunakan dalam ubat-ubatan moden, makanan dan minuman kesihatan selain digunakan dalam rawatan alternatif.

Lazimnya, serai banyak ditemui dalam masakan "tom yam" dan "sate" disebabkan tukang masak hari ini tidak begitu mengenali peranan, keistimewaan dan khasiat yang dimiliki serai tersebut berbanding di kalangan orang-orang tua zaman lampau. Serai selain boleh dijadikan sebagai ulam mentah dengan memotongnya halus boleh dimakan bersama nasi dan pencecah, serai juga boleh dijadikan sebagai ulam "nasi kerabu". Namun dewasa ini penggunaan serai untuk ulam nasi kerabu tidak pernah ditemui disebabkan tukang masak kita tidak begitu memahaminya secara mendalam tentang peranan serai terhadap makanan. Bahkan serai juga boleh direbus, dicampurkan sedikit garam lalu diminum airnya.

Serai juga turut menjalani kajian untuk mengesan kandungan tentang zatnya. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), serai atau dikenali "lemon grass" ini mengandungi Vitamin B1 (0.04 mg), Vitamin B2 (0.05 mg) dan Niasin (0.4 mg). Kandungan bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (288 mg), Fosforus (29 mg), Kalsium (28 mg), Natrium (2 mg) dan Ferum (1.1 mg). Sementara kandungan bahan-bahan lain seperti Protein (0.7 g), Karbohidrat (12.8 g), Serat (2.0 g), Lemak (0.7 g), Abu (0.8 g), Air (83.0 g) dan Tenaga (60 kcal).

Banyak keistimewaan, kelebihan dan khasiat dalam serai yang boleh merawat dan memulihkan penyakit jantung, kanser, kencing manis, darah tinggi, masalah paru-paru, gastrik, tekanan angin dalam perut, gout, mata, kulit, penyakit batu karang, awet muda, masalah rambut, perut meragam, merawat perut buncit, makanan tidak hadam, masalah pembuangan kumuh, kurang tenaga, masalah seks, aliran dan haemoglobin darah yang tidak normal.

Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH   

Khamis, 27 Jun 2013

Pucuk Jenereh



PUCUK JENEREH

PUCUK JENEREH banyak didapati di kampung-kampung. Salah satu tempat diberikan nama sempena dengan istilah dan perkataan "jenereh" ialah Pangkal Jenereh yang terletak dalam daerah Temangan, Machang, Kelantan kerana dikatakan pokok ini banyak ditemui di kawasan daerah terbabit.

Pucuk Jenereh termasuk dalam kategori "Pokok Ulam" yang tumbuh liar dan bukan sengaja ditanam kerana penggemar ulam mentah hanya memakan daunnya yang paling muda berwarna kuning dan kehijauan. Pucuk Jenereh memang lembut dan apabila dilipat daunnya tidak akan patah. Pucuk Jenereh boleh dimakan bersama sos cili, kicap mahupun sos dari Kelantan (budu) yang dicampur sedikit gula atau ditambah asam limau dan sedikit bawang merah yang telah dipotong halus.

Pucuk Jenereh memang berkhasiat untuk kesihatan kerana kaya dengan serat serta garam galian yang tersembunyi dan sememangnya amat sesuai untuk penghadaman dan pembuangan bahan-bahan kumuh. Bagi individu yang menghidapi masalah aliran darah yang agak tidak menentu adalah disarankan memakan pucuk jenereh, selain dapat menyelesaikan masalah perut meragam, cirit-birit, masalah kencing dan mata. Dipercayai juga, pucuk jenereh dapat mengurangkan masalah perut buncit dan tekanan angin.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 22 Jun 2013

Pucuk Serai


PUCUK SERAI

PUCUK SERAI: SERAI ada dua jenis iaitu serai kayu dan serai lalang. Serai kayu adalah sejenis pokok yang didapati tumbuh liar dalam hutan di negara kita yang tergolong dalam kategori "Pokok Ulam". Bahkan pokok ini mudah hidup dengan menanam konsep secara "tut" di mana-mana bahagian ranting dan batangnya.

Serai kayu sering dijadikan sebagai ulam mentah kerana pucuknya yang masih muda begitu enak dimakan begitu saja ataupun bersama nasi. Sediakan bahan-bahan pencecah sama ada sos cili, kicap mahupun budu (sejenis sos di Kelantan), pastinya pucuk serai menjadi idaman penggemarnya. Bahkan pucuk serai ini juga sering dijadikan sebagai ulam dalam nasi kerabu di kampung-kampung kerana tumbuh-tumbuhan ini mudah diperolehi.

Keistimewaan dan khasiat pucuk serai ialah dapat merawat masalah buasir, masalah penghadaman, buang air besar, untuk mata, selain masalah kulit.

Selain itu, buah serai kayu juga dipercayai dapat merawat sembelit, batuk dan merembeskan kahak.

Amalkan pengambilan pucuk serai di dalam hidangan sebagai ulam mentah kerana ia kaya dengan serat yang amat sesuai untuk kesihatan badan.

Buah serai kayu rasanya manis, dipercayai merawat sembelit, batuk dan merembeskan kahak.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 19 Jun 2013

Pegaga


PEGAGA

PEGAGA atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Hydrocotyle asiatica" banyak ditemui di kawasan semak-samun negara kita. Pegaga mempunyai dua kategori, iaitu pegaga biasa dan pegaga gajah. Pokok ini yang tumbuh menjalar adalah termasuk dalam koloni Pokok Ulam yang mempunyai banyak khasiatnya yang tersendiri.

Lazimnya, pegaga boleh dijadikan sebagai ulam mentah. Selain itu, pegaga juga boleh dijadikan ulam kerabu dan direbus. Namun, amat jarang sekali kaedah berkenaan, yang sering didengar mereka menjadikannya sebagai ulam mentah. Bahkan ada juga individu yang tidak menggemari pegaga disebabkan rasanya.

Pegaga memang kaya dengan khasiat pemakanan. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), pegaga kaya dengan Karotena (2649 mcg), Vitamin A (442 mcg), Vitamin B1 (0.09 mg), Vitamin B2 (0.19 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin (48.5 mg). Sementara bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (391 mg), Kalsium (171 mg), Fosforus (32 mg), Natrium (21 mg) dan Ferum (5.6 mg). Komposisi zat makanan lain pula seperti Karbohidrat (6.7 g), Protein (2.0 g), Serat (1.6 g), Lemak (0.2 g), Abu (1.8 g), Air (87.7 g) dan Tenaga (37.7 g).

Di antara khasiat pegaga ini ialah ia sesuai untuk ibu-ibu yang baru bersalin, awet muda, mencerdaskan minda, merawat penyakit kusta, sendi-sendi dan saraf, masalah penghadaman kerana mengandungi serat yang diperlukan, merawat demam dan membantu menyelesaikan masalah pembuangan kumuh.

PEGAGA GAJAHPegaga Gajah atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Hydrocotyle javanica" yang berdaun lebih tua dari pegaga biasa sememangnya hidup liar dan banyak ditemui dalam kawasan semak-samun di negara kita.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), pegaga gajah kaya dengan Karotena (1404 mcg), Vitamin A (234 mcg), Vitamin B1 (0.07 mg), Vitamin B2 (0.20 mg), Niasin (0.4 mg) dan Vitamin C (70.2 mg). Manakala bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (306 mg), Kalsium (165 mg), Fosforus (41 mg), Natrium (24 mg) dan Ferum (9.8 mg). Sementara khasiat makanan yang lain seperti Karbohidrat (5.3 g), Protein (1.2 g), Serat (1.3 g), Lemak (0.4 g), Abu (1.9 g), Air (89.9 g) dan Tenaga (30 kcal).

Pegaga gajah juga mempunyai keistimewaan terhadap kesihatan manusia. Masyarakat Melayu mempercayai, pegaga gajah dapat merawat masalah penghadaman, penyakit lumpuh, penyakit sendi dan saraf, gout, kanser, jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Ahad, 16 Jun 2013

Pucuk Gajus


PUCUK GAJUS

PUCUK GAJUS dikenali juga "Pucuk Janggus", atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Anacardium occidentale". Pokok gajus tergolong dalam koloni pokok ulam yang banyak ditemui di kampung-kampung dan bahagian pedalaman. Tumbuhan ini turut dikenali sebagai tumbuhan liar, namun kini ia telah ditanam kerana keperluan kepada daunnya.

Kalaupun batang pokok gajus dianggap tidak berguna, namun daunnya sering dijadikan ulam dalam nasi. Walau bagaimanapun, pucuk gajus begitu popular kerana daunnya boleh dijadikan ulam mentah yang paling digemari ramai. Juadah tidak perlu lauk yang hebat-hebat, asalkan ada ikan singgang dan ikan bakar, pucuk gajus rakan paling rapat dalam konteks ulam yang boleh dicecah dengan sos, kicap mahupun budu (sos terkenal dari Kelantan).

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), pucuk gajus istimewa kerana kaya dengan Karotena (2076 mcg), Vitamin A (346 mcg), Vitamin B2 (1.19 mg), Niasin (0.5 mg) dan Vitamin C (91.0 mg). Manakala kadar garam galiannya terdiri dari Kalium (332 mg), Kalsium (53 mg), Fosforus (29 mg), Natrium (7 mg), Ferum (3.5 mg), Karbohidrat (4.5 g), Protein (3.8 g), Lemak (0.2 g), Serat (1.5 g), Abu (0.9 g), Air (89.1 g) dan Tenaga (35 kcal).

Khasiat pucuk gajus untuk kesihatan menyelesaikan masalah penghadaman, melawaskan kencing dan buang air besar, aliran darah menjadi sempurna, minda dan tubuh menjadi sihat dan segar (sentiasa mengamalkan pengambilannya), sesuai untuk kulit dan mata.

Pokok gajus atau janggus.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 15 Jun 2013

Kemangi


KEMANGI

KEMANGadalah sejenis pokok ulam atau dikenali juga "pucuk kemangi" yang kurang didengari tetapi begitu popular di zaman warga emas pada masa dulu. Warga emas di zaman moden ini jarang yang mengenalinya, apabila ditanya, mereka terpinga-pinga. Tumbuhan renek yang berdaun lebat dan hebat ini membiak di tanah peroi dan gembur, dengan membuat sedikit batas membolehkannya hidup walau di musim kering. Kalau air dan hujan yang mencukupi, tumbuh-tumbuhan yang berasa dan berbau tengik ini akan cepat membesar.

Kemangi adalah ulam berdaun yang hebat, boleh dimakan mentah atau boleh dicecah dengan sambal, sos, kicap ataupun budu (sejenis sos dari Kelantan). Walaupun kemangi jika dimakan mentah, lidah dan ruang tekak akan berasa tengik, namun segalanya hanya sementara saja. Apabila sudah biasa, kemangi akan tetap diingati.

Khasiat dalam kemangi memang tidak boleh dipertikai lagi. Tumbuhan herba yang boleh dijadikan ulam ini bernilai perubatan sesuai untuk segala jenis penyakit dari luar dan dalam tubuh termasuk penyakit-penyakit kronik. Ia dipercayai dapat membuka dan menambah selera makan, merawat masalah kulit, melancarkan pepeluhan, migrain, mencerahkan mata, awet muda, menyelesaikan masalah penghadaman, melawaskan kencing dan buang air besar, merawat penyakit kuning, masalah perut (buncit dan kembung), organ dan urat saraf yang sakit, kencing manis, darah tinggi, kanser dan jantung.



Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH    

Jumaat, 14 Jun 2013

Bawang Besar


BAWANG BESAR

BAWANG BESAR atau nama saintifiknya "Allium cepa" sering digunakan dalam masakan panas dan bergoreng, antaranya ada yang menggoreng bawang besar sahaja, malah bawang besar turut digoreng bersama daging, petai, halia untuk menambahkan kelazatan pada makanan itu. Walau bagaimanapun, peranan bawang besar dalam makanan di Malaysia amat penting. Di negara Arab, bawang besar dimakan begitu sahaja seperti jambu batu.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), bawang besar mengandungi kadar Vitamin B1 (0.03 mg), Vitamin B2 (0.07 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin C (8.4 mg). Manakala kandungan bahan galiannya seperti Fosforus (51 mg), Kalsium (38 mg), Natrium (14 mg), Kalium (11 mg), Ferum (4.6 mg), Karbohidrat (11.9 g), Protein (1.3 g), Serat (0.6 g), Abu (0.5 g), Air (85.7 g) dan Tenaga (53 kcal).

Khasiat dalam bawang besar juga penting untuk kesihatan seperti menambah selera makan, menguatkan dan membersihkan usus-usus, pertambahan air mani, mencantikkan warna kulit dan membuang kahak, menyembuhkan keputihan mata, melawaskan kencing, menyembuhkan penyakit kuning dan melapangkan sesak dada.
(Sumber: Buku Ubat-ubatan Tradisional Melayu dan Doa-doa Penawar Penyakit, Ustaz Azahari Ibrahim, Kelantan).

Kaedah menggunakan bawang besar ialah bagi menambahkan selera makan, menguatkan usus-usus dan menambahkan air mani, mencantikkan warna kulit dan membuang kahak, bawang besar hendaklah dimakan begitu saja atau dijadikan sebagai ulam.

Air bawang besar jika dicampurkan dengan madu asli dapat menyembuhkan penyakit keputihan mata. Caranya, sapukan bahan-bahan tersebut di kelopak mata. Manakala dengan memakan bawang besar yang dimasak boleh melawaskan kencing, menyembuhkan penyakit kuning dan melapangkan sesak dada.

Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH  

Bawang Merah


BAWANG MERAH

BAWANG MERAH atau dalam bahasa saintifiknya "Allium fistulosum" mudah ditanam di kawasan tanah peroi dan yang digemburkan. Ketika bertunas, pucuk bawang merah boleh dijadikan ulam mentah yang cukup menyelerakan. Tumbuhan ini tersenarai dalam kategori pokok ulam kerana menjadi kegemaran masyarakat Melayu bukan sahaja boleh dijadikan sebagai perencah dalam masakan dan melazatkan makanan malah bawang merah turut dibakar kerana dikatakan lebih lazat dan menyelerakan.

Bawang merah turut disenaraikan dalam pemakanan Malaysia. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), bawang merah mengandungi Vitamin B1 (0.05 mg) dan Vitamin B2 (0.10 mg), Niasin (12.4 mg). Manakala garam galiannya terdiri dari Kalium (279 mg), Kalsium (74 mg), Natrium (12 mg), Fosforus (8 mg), Ferum (1.1 mg), Karbohidrat (14.3 g), Protein (1.2 g), Serat (0.6 g), Abu (0.7 g), Air (83.2 g) dan Tenaga (62 kcal). Bawang merah juga mengandungi bahan antibiotik, asid karbrid dan salah satu jenis ulam yang boleh menguatkan tenaga seks selain jenis makanan yang boleh mengurangkan kadar gula dalam darah dan memperbaiki insulin.

Disebabkan bawang merah tergolong dalam koloni pokok ulam, ia juga boleh dijadikan ulam mentah yang dimakan bersama nasi. Cincang bawang merah menurut selera, kemudian masukkannya ke dalam sos, kicap ataupun budu (bagi penggemar Kelantan). Makanlah bersama ulam-ulam lain seperti kemangi, petai, jering, pucuk gajus dan sebagainya. Bawang merah juga boleh direbus ataupun digoreng. Jika ingin memakannya secara goreng (masukkan sedikit gula dan garam). Kaedah ini lebih lazat dan menyelerakan.

Khasiat bawang merah dipercayai boleh merawat dan menyembuhkan masalah penghadaman, masalah haemoglobin darah, mengurangkan kadar gula dalam darah, kulit dan tisu-tisu lain dalam badan selain masalah angin dalam badan, sembelit, cirit-birit dan kecacingan, migrain, merawat mata bengkak (dengan menyapukan air dari bawang merah ke mata dan pejamkan mata untuk beberapa ketika).

Selain itu, memakan bawang merah juga boleh menambahkan air mani, membuka selera makan, menghadamkan makanan, menghilangkan rasa dahaga, memanaskan makanan dan membuangkan kahak, melicinkan pernafasan, menghilangkan rasa pitam jika dicium baunya setelah dipotong.

Bahkan, duri yang tertusuk ke dalam kaki juga boleh dibuang menggunakan bawang merah. Caranya, ambil seulas bawang merah, lumurkan bawang tersebut dengan minyak kelapa (minyak masak) kemudian bakar sehingga hangus dan tampalkannya di tempat yang luka. Insya Allah, duri tersebut akan keluar dengan perlahan-lahan. 
(Sumber: Buku Ubat-ubatan Tradisional Melayu dan Doa Penawar Penyakit, Ustaz Azahari Ibrahim, Kelantan).

Manakala bunga bawang merah pula dipercayai dapat mengubati penyakit kusta, kebingungan, migrain dan sawan di kalangan kanak-kanak. Caranya, ambil bunganya dan ciumkannya secara berulang-kali.

Perihal tentang bawang merah ini turut digarapkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah: ayat 61.

Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Bawang merah banyak khasiatnya terhadap kesihatan manusia.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Petai Belalang


PETAI BELALANG

PETAI BELALANG:  Pokok petai belalang atau dalam bahasa saintifiknya "Leucaena leucocephala" lazimnya banyak ditanam di bahagian penjuru pagar kebanyakan taman perumahan di kawasan bandar. Namun pokok ini banyak ditanam di kawasan laman rumah di kampung-kampung. Ini kerana, akar dan batang pokok ini tidak mengganggu ruang dalam kawasan perumahan terbabit bahkan tidak memusnahkan tapak rumah berkenaan kerana pembesaran akarnya tidak sebagaimana pokok petai biasa.

Petai belalang juga mempunyai khasiat yang tersendiri dan salah satunya ialah merawat penyakit kencing manis. Lazimnya, kebanyakan masyarakat Melayu memakan buah petai belalang begitu sahaja kerana baunya tidak sebagaimana petai biasa. Amalan seumpama ini adalah baik untuk mencegah penyakit kronik tersebut.

Walau bagaimanapun, kaedah lain yang boleh diamalkan tentang kebaikan petai belalang untuk mencegah penyakit kencing manis ialah, ambil buah petai belalang yang telah agak tua dan kering di pokoknya. Keluarkan isinya dan goreng tanpa minyak sehingga garing dan tumbuk sehingga hancur (lumat), kemudian masukkan ke dalam air panas (hangat) dan jadikannya seperti meminum air kopi.

Pokok petai belalang hidup subur di penjuru pagar rumah.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 13 Jun 2013

Petai


PETAI

POKOK PETAI atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Parkia speciosa" tergolong dalam kelompok pokok ulam di mana pokoknya boleh dilihat dengan banyak dalam hutan terutamanya di kampung-kampung dan bahagian pedalaman. Disebabkan  pokok ini begitu sesuai dan subur, kebanyakan penduduk-penduduk kampung di kalangan masyarakat Melayu yang turut menanam pokok ini di halaman rumah mereka kerana pelbagai kegunaan khususnya terhadap kesihatan.

Dalam setiap hidangan, petai sering dimasak atau digoreng bersama daging yang dicampur dengan halia, menambahkan lagi aroma dan citarasa masakan tersebut, selain dapat meningkatkan khasiat yang terkandung di dalamnya. Malahan, ada yang menggemari petai dengan menjadikannya ulam mentah yang dimakan bersama nasi dan petai ini dijadikan sebagai pencicah iaitu sebagai lauk-pauk kedua. Tidak kurang juga petai turut dijeruk, direbus dan dibakar yang boleh menambahkan aroma yang secara tidak langsung menambahkan selera makan.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988) turut menyenaraikan petai mengandungi zat pemakanan yang kaya dengan Karotena (151 mcg), Vitamin A (25 mcg), Vitamin B1 (0.15 mg), Vitamin B2 (0.20 mg), Vitamin C (32.7 mg) dan Niasin (0.5 mg). Manakala kandungan bahan galiannya seperti Kalium (376 mg), Kalsium (126 mg), Natrium (11 mg), Ferum (3.4 mg), Fosforus (3 mg), Karbohidrat (16.9 g), Protein (10.0 g), Serat (1.0 g), Abu (1.3 g), Lemak (1.8 g), Air (69.0 g) dan Tenaga (124 kcal).

Sesuatu yang istimewa bagi petai (buah) dan kulitnya walaupun dianggap berbau busuk ialah ia bernilai perubatan. Peranannya terhadap kesihatan untuk mencegah penyakit kencing manis, darah tinggi, menghadamkan makanan, melawaskan buang air besar dan kencing, mengurangkan kadar gula dan kolestrol dalam darah.

Selain buahnya yang kecil, kulit petai juga bernilai perubatan.

Petai: Pokok dalam rimba yang hidup subur di tanah lapang di laman rumah.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jering


JERING

JERING:  Jering atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Pithecellobium jiringa" memang mudah didapati dalam hutan di negara kita terutamanya di kampung-kampung dan bahagian pedalaman, malah pokok ini turut ditanam oleh masyarakat Melayu zaman dulu untuk tujuan menjadikannya sebagai ulam yang dapat membantu menambah selera makan selain sebagai merawat pelbagai jenis penyakit. Lazimnya, pada masa dulu di kampung-kampung, buahnya ditanam dalam tanah dan pasir untuk memberikan citarasa yang diinginkan, malah buahnya dijadikan jeruk dan direbus dan dimakan bersama kelapa parut yang dicampur gula.

Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), jering mengandungi Karotena (373 mcg), Vitamin A (62 mcg), Niasin (5.8 mg), Vitamin C (3.5 mg), Vitamin B1 (0.10 mg) dan Vitamin B2 (0.13 mg). Manakala bahan-bahan galiannya terdiri dari Kalium (230 mg), Fosforus (60 mg), Kalsium (29 mg), Natrium (3 mg), Ferum (0.7 mg), Karbohidrat (18.7 g), Protein (5.8 g), Serat (1.2 g), Abu (0.7 g), Lemak (0.3 g), Air (73.3 g) dan Tenaga (101 kcal).
 
Orang-orang Melayu berpendapat, jering dipercayai boleh mengubati penyakit kencing manis dan darah tinggi dengan menjadikan buah jering itu sebagai ulam mentah ataupun direbus dan dimakan bersama kelapa parut yang dicampur sedikit gula.

Kulit jering juga berguna untuk mengubati penyakit kencing manis. Petua-petua tradisional mengenal pasti bahawa, kulit jering hendaklah terlebih dahulu digoreng hingga garing tanpa menggunakan minyak. Selepas digoreng, ia ditumbuk (dilumatkan) hingga kelihatan halus. Kemudian masukkannya ke dalam air kopi dalam kadar satu sudu kecil serbuk jering tadi dan meminumnya selama dua kali seminggu. Kedua-dua ulam tersebut mempunyai banyak khasiat tersendiri menandingi khasiat bunga kubis.

Kulit jering jangan dibuang kerana berguna untuk merawat kencing manis.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Rabu, 12 Jun 2013

Bunga Lengkuas


BUNGA LENGKUAS

BUNGA LENGKUAS:  Pokok Lengkuas atau dalam bahasa saintifiknya dikenali sebagai "Languas galanga" lazimnya berbunga dan bunganya kelihatan seperti buah. Tumbuh-tumbuhan herba ini tersenarai dalam koloni "Pokok Ulam". Pokok Lengkuas memang banyak ditanam di persekitaran rumah dan kebun sayur-sayuran di kawasan kampung dan bahagian pedalaman kerana sifatnya memang mudah membiak walaupun di musim kering.

Walaupun kebanyakan sebahagian orang-orang menggunakan lengkuas sebagai perencah dalam masakan tradisional Melayu seperti ikan dan daging singgan dan sebagainya, namun tanpa diketahui umum, bunga lengkuas juga boleh dijadikan ulam dan boleh disediakan bersama nasi. Bunga lengkuas tidak boleh dimakan terlalu banyak kerana rasanya seperti menggigit lidah dan rongga dalam mulut. Namun percayalah, bunga lengkuas bernilai perubatan kerana mencegah pembiakan kuman dan bakteria dalam tubuh, membantu menghadamkan makanan dalam perut, melawaskan kencing dan buang air besar dan menyegarkan tubuh badan. Khasiat dalam bunga lengkuas juga dipercayai dapat menghindarkan kanser, kencing manis, darah tinggi, gout dan masalah kulit.

Bunga lengkuas tidak sesuai dimasak tetapi boleh dimakan begitu sahaja secara segar dan mentah bersama nasi, boleh disediakan bersama sos, budu ataupun kicap.

Lengkuas tersenarai dalam komposisi zat makanan. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan (IMR, 1988), lengkuas mengandungi Vitamin B1 (0.02 mg), Vitamin B2 (0.04 mg) dan Niasin (0.4 mg). Manakala garam galiannya terdiri dari Kalium (81 mg), Fosforus (26 mg), Kalsium (18 mg), Natrium (2 mg), Ferum (1.2 mg), Karbohidrat (6.5 g), Serat (1.6 g), Protein (0.9 g), Abu (0.4 g), Lemak (0.7 g), Air (89.9 g) dan Tenaga (36 kcal).

 

 

Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Halia


HALIA

HALIAPokok Halia atau bahasa saintifiknya disebut "Zingiber officinale" adalah tumbuh-tumbuhan herba dalam kategori ulam yang banyak ditanam oleh masyarakat luar bandar dan di bahagian pedalaman. Tumbuh-tumbuhan ini mudah ditanam dan membiak sama ada ditanam dalam pasir ataupun tanah gembur.

Lazimnya, halia sering digunakan oleh masyarakat kampung bagi melazatkan dan membangkitkan aroma juadah dengan menjadikannya sebagai perencah dalam masakan. Pada masa dulu, halia sering digoreng bersama daging yang dicampurkan dengan petai dan halia bagi melazatkan juadah dan setiap yang menikmatinya amat menyelerakan. Malah ada yang menjadikan halia sebagai ulam mentah sama ada dicampurkan dengan sedikit kicap ataupun budu bersama cili, dilumatkan ataupun digoreng.
 
Sesuatu yang menarik tentang halia kerana tumbuh-tumbuhan ini turut tersenarai dalam komposisi zat makanan. Ini kerana, menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), di antara vitamin dan garam galian terpenting dalam halia seperti Vitamin B1 (0.04 mg), Vitamin B2 (0.04 mg), Vitamin C (5.3 mg), Niasin (0.7 mg), Kalium (125 mg), Fosforus (63 mg), Kalsium (17 mg), Natrium (3 mg), Ferum (2.5 mg), Karbohidrat (8.6 g), Serat (1.7 g), Abu (0.5 g), Lemak (1.0 g), Air (86.1 g) dan Tenaga (52 kcal).

Bahkan, halia amat berkhasiat dan bernilai perubatan yang paling sesuai dengan kesihatan manusia seperti membantu menghadamkan makanan, melembutkan perut (secara sederhana), mengawal hati supaya tidak sejuk dan basah, membantu dalam tenaga jimak dan menambahkan air mani, membuang angin dalam usus kecil dan usus besar, membuang kahak dan lendir yang melekat di bahagian halkum, menghilangkan bau busuk mulut, menghilangkan kadar kesejukan yang terdapat pada makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan setelah dimakan dan diminum.

Rawatan Mual dengan Halia

Halia juga boleh merawat masalah pening dan mual selepas menikmati ketam atau udang. Caranya: Ambil halia secukupnya, kupas dan bersihkannya. Kemudian parut dan campurkan dengan sedikit minyak tanah. Ramas-ramaslah sehingga rata lalu digosokkan ke seluruh pinggul. Kemudian selimut rapat-rapat dan tidurlah. Setengah jam kemudian, anda akan berpeluh dan hilanglah rasa mual dan mabuk itu.
(Sumber: Buku Ubat-ubatan Tradisional Melayu dan Doa-doa Penawar Penyakit, Ustaz Azahari Ibrahim, Kelantan).

Firman Allah: "Dan mereka (ahli syurga) meminum di syurga satu gelas air yang campurannya dari halia".

Pokok halia.

Bunga halia.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Kilokalori (kcal), Miligram (mg), Gram (g)

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Kesom


KESOM

KESOM:  Pokok Kesom atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Polygonum minus" adalah salah satu tumbuh-tumbuhan herba yang termasuk dalam kategori "Pokok Ulam". Tumbuh-tumbuhan ini banyak ditemui di kawasan berpaya terutamanya di kawasan tebing dan kawasan lembab. Pokok ini hidup subur apabila di kawasan terbabit tidak diganggu malah pokok ini mudah membiak dan ada yang ditanam di dalam pasu dan persekitaran rumah.

Lazimnya, kesom amat tersohor digunakan sebagai perencah dalam masakan sehinggakan apabila adanya kesom dalam juadah terbabit, masakan menjadi lazat. Laksa Pulau Pinang menggunakan kesom dalam kuah makanan berkenaan. Malah kesom juga sering digunakan sebagai ulam nasi kerabu yang menjadi kegemaran masyarakat di Kelantan.

Pokok kesom memang kaya dengan komposisi zat makanan. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), kesom memang kaya dengan vitamin seperti Karotena (7433 mcg), Vitamin A (1239 mcg), Vitamin B1 (0.15 mg), Vitamin B2 (0.24 mg), Vitamin C (125.0 mg) dan Niasin (2.8 mg). Garam galiannya pula terdiri dari Kalium (308 mg), Kalsium (232 mg), Fosforus (19 mg), Natrium (19 mg), Ferum (3.2 mg), Karbohidrat (18.4 g), Serat (2.8 g), Protein (2.8 g), Abu (2.1 g), Lemak (0.7 g), Air (73.2 g) dan Tenaga (91 kcal).

Kesom mempunyai khasiat yang amat sesuai untuk kesihatan manusia terutamanya menyelesaikan masalah kelemumur, merawat dan menyembuhkan sakit perut, menyelesaikan masalah penghadaman, mata dan darah merah.

Kaedah penyediaan kesom untuk rawatan ialah setelah daun dan tangkainya dibersihkan, lumatkan kesom dengan mencampurkannya dengan sedikit garam lalu dimakan dengan nasi sebagai lauk. Cara ini untuk merawat sakit perut dan masalah penghadaman. Disebabkan kesom kaya dengan serat, ia memang sesuai untuk penyakit berkenaan. Bagi merawat mata pula, lumatkan kesom dan basahkannya lalu ditampalkan di atas dahi dengan meletakkannya dengan kain basah.

Kesom goreng memang lazat.

Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Kilokalori (kcal), Miligram (mg), Gram (g) 

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH