HALIA
HALIA: Pokok Halia atau bahasa saintifiknya disebut "Zingiber officinale" adalah tumbuh-tumbuhan herba dalam kategori ulam yang banyak ditanam oleh masyarakat luar bandar dan di bahagian pedalaman. Tumbuh-tumbuhan ini mudah ditanam dan membiak sama ada ditanam dalam pasir ataupun tanah gembur.
Lazimnya, halia sering digunakan oleh masyarakat kampung bagi melazatkan dan membangkitkan aroma juadah dengan menjadikannya sebagai perencah dalam masakan. Pada masa dulu, halia sering digoreng bersama daging yang dicampurkan dengan petai dan halia bagi melazatkan juadah dan setiap yang menikmatinya amat menyelerakan. Malah ada yang menjadikan halia sebagai ulam mentah sama ada dicampurkan dengan sedikit kicap ataupun budu bersama cili, dilumatkan ataupun digoreng.
Sesuatu yang menarik tentang halia kerana tumbuh-tumbuhan ini turut tersenarai dalam komposisi zat makanan. Ini kerana, menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), di antara vitamin dan garam galian terpenting dalam halia seperti Vitamin B1 (0.04 mg), Vitamin B2 (0.04 mg), Vitamin C (5.3 mg), Niasin (0.7 mg), Kalium (125 mg), Fosforus (63 mg), Kalsium (17 mg), Natrium (3 mg), Ferum (2.5 mg), Karbohidrat (8.6 g), Serat (1.7 g), Abu (0.5 g), Lemak (1.0 g), Air (86.1 g) dan Tenaga (52 kcal).
Bahkan, halia amat berkhasiat dan bernilai perubatan yang paling sesuai dengan kesihatan manusia seperti membantu menghadamkan makanan, melembutkan perut (secara sederhana), mengawal hati supaya tidak sejuk dan basah, membantu dalam tenaga jimak dan menambahkan air mani, membuang angin dalam usus kecil dan usus besar, membuang kahak dan lendir yang melekat di bahagian halkum, menghilangkan bau busuk mulut, menghilangkan kadar kesejukan yang terdapat pada makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan setelah dimakan dan diminum.
Halia juga boleh merawat masalah pening dan mual selepas menikmati ketam atau udang. Caranya: Ambil halia secukupnya, kupas dan bersihkannya. Kemudian parut dan campurkan dengan sedikit minyak tanah. Ramas-ramaslah sehingga rata lalu digosokkan ke seluruh pinggul. Kemudian selimut rapat-rapat dan tidurlah. Setengah jam kemudian, anda akan berpeluh dan hilanglah rasa mual dan mabuk itu.
Rawatan Mual dengan Halia
(Sumber: Buku Ubat-ubatan Tradisional Melayu dan Doa-doa Penawar Penyakit, Ustaz Azahari Ibrahim, Kelantan).
Firman Allah: "Dan mereka (ahli syurga) meminum di syurga satu gelas air yang campurannya dari halia".
Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Kilokalori (kcal), Miligram (mg), Gram (g)
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan