BAWANG BESAR
BAWANG BESAR atau nama saintifiknya "Allium cepa" sering digunakan dalam masakan panas dan bergoreng, antaranya ada yang menggoreng bawang besar sahaja, malah bawang besar turut digoreng bersama daging, petai, halia untuk menambahkan kelazatan pada makanan itu. Walau bagaimanapun, peranan bawang besar dalam makanan di Malaysia amat penting. Di negara Arab, bawang besar dimakan begitu sahaja seperti jambu batu.
Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), bawang besar mengandungi kadar Vitamin B1 (0.03 mg), Vitamin B2 (0.07 mg), Niasin (0.1 mg) dan Vitamin C (8.4 mg). Manakala kandungan bahan galiannya seperti Fosforus (51 mg), Kalsium (38 mg), Natrium (14 mg), Kalium (11 mg), Ferum (4.6 mg), Karbohidrat (11.9 g), Protein (1.3 g), Serat (0.6 g), Abu (0.5 g), Air (85.7 g) dan Tenaga (53 kcal).
Khasiat dalam bawang besar juga penting untuk kesihatan seperti menambah selera makan, menguatkan dan membersihkan usus-usus, pertambahan air mani, mencantikkan warna kulit dan membuang kahak, menyembuhkan keputihan mata, melawaskan kencing, menyembuhkan penyakit kuning dan melapangkan sesak dada.
(Sumber: Buku Ubat-ubatan Tradisional Melayu dan Doa-doa Penawar Penyakit, Ustaz Azahari Ibrahim, Kelantan).
Kaedah menggunakan bawang besar ialah bagi menambahkan selera makan, menguatkan usus-usus dan menambahkan air mani, mencantikkan warna kulit dan membuang kahak, bawang besar hendaklah dimakan begitu saja atau dijadikan sebagai ulam.
Air bawang besar jika dicampurkan dengan madu asli dapat menyembuhkan penyakit keputihan mata. Caranya, sapukan bahan-bahan tersebut di kelopak mata. Manakala dengan memakan bawang besar yang dimasak boleh melawaskan kencing, menyembuhkan penyakit kuning dan melapangkan sesak dada.
Petunjuk:
Miligram (mg), Gram (g), Kilokalori (kcal)
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan