KESOM: Pokok Kesom atau dalam bahasa saintifiknya dikenali "Polygonum minus" adalah salah satu tumbuh-tumbuhan herba yang termasuk dalam kategori "Pokok Ulam". Tumbuh-tumbuhan ini banyak ditemui di kawasan berpaya terutamanya di kawasan tebing dan kawasan lembab. Pokok ini hidup subur apabila di kawasan terbabit tidak diganggu malah pokok ini mudah membiak dan ada yang ditanam di dalam pasu dan persekitaran rumah.
Lazimnya, kesom amat tersohor digunakan sebagai perencah dalam masakan sehinggakan apabila adanya kesom dalam juadah terbabit, masakan menjadi lazat. Laksa Pulau Pinang menggunakan kesom dalam kuah makanan berkenaan. Malah kesom juga sering digunakan sebagai ulam nasi kerabu yang menjadi kegemaran masyarakat di Kelantan.
Pokok kesom memang kaya dengan komposisi zat makanan. Menurut Komposisi Zat Makanan Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR, 1988), kesom memang kaya dengan vitamin seperti Karotena (7433 mcg), Vitamin A (1239 mcg), Vitamin B1 (0.15 mg), Vitamin B2 (0.24 mg), Vitamin C (125.0 mg) dan Niasin (2.8 mg). Garam galiannya pula terdiri dari Kalium (308 mg), Kalsium (232 mg), Fosforus (19 mg), Natrium (19 mg), Ferum (3.2 mg), Karbohidrat (18.4 g), Serat (2.8 g), Protein (2.8 g), Abu (2.1 g), Lemak (0.7 g), Air (73.2 g) dan Tenaga (91 kcal).
Kesom mempunyai khasiat yang amat sesuai untuk kesihatan manusia terutamanya menyelesaikan masalah kelemumur, merawat dan menyembuhkan sakit perut, menyelesaikan masalah penghadaman, mata dan darah merah.
Kaedah penyediaan kesom untuk rawatan ialah setelah daun dan tangkainya dibersihkan, lumatkan kesom dengan mencampurkannya dengan sedikit garam lalu dimakan dengan nasi sebagai lauk. Cara ini untuk merawat sakit perut dan masalah penghadaman. Disebabkan kesom kaya dengan serat, ia memang sesuai untuk penyakit berkenaan. Bagi merawat mata pula, lumatkan kesom dan basahkannya lalu ditampalkan di atas dahi dengan meletakkannya dengan kain basah.
Kesom goreng memang lazat.
Petunjuk:
Mikrogram (mcg), Kilokalori (kcal), Miligram (mg), Gram (g)
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan